27 July 2011

Bab 1, leaked

assalamualaikum

dlm post lepas, saya ada tulis yg saya nk buat novel
post kali ni saya nk tunjukkan bab 1 punya content
jika ada idea tambahan dari anda, do comment
I'll gladly appreciate that

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

BAB 1

Rucelli terbangun dari pembaringan. Matanya meliar ke kiri ke kanan. Sebuah tikar buruk sahaja yang menjadi alas pembaringannya, bukannya tilam empuk yang selalu menjadi peneman tidurnya di kala malam hari. Rucelli memejamkan mata. Sayup-sayup terdengar suara yang amat indah. Hendak dikatakan lagu, bukannya lagu. Hendak dikatakan berbicara, bukan berbicara. Lalu, apakah irama yg menenangkan hatinya kala ini, irama yg menghambat kegusaran jiwanya ke tahap paling rendah?

Perlahan-lahan Rucelli bangun. Terasa kepalanya agak berpinar-pinar. Namun, diraih kekuatan untuk berdiri juga. Dia berpusing ke belakang. Terlihatnya sebuah hijab kain yang menjadi pemisah antara dia dan suara yg indah itu. Perlahan, Rucelli menapak kaki, menyelak hijab tersebut. Sebaik sahaja melihat punca suara itu, matanya terbeliak, tidak berkelip-kelip.

Imbas Kembali

Rucelli berdiri di atas tembok batu, memegang dua bilah pisau belati yg bermuncung tajam. Di negara barat, pisau belati berbentuk sebegini dikenali sebagai stiletto. Badannya ditutupi jubah hitam sehingga menutupi kepala. Mukanya pula dibalut dari dagu ke hidung, hanya menampakkan kedua-dua mata. Matanya merenung ke arah seorang lelaki yg memakai jubah coklat. Lelaki itu adalah pengarah bank - perlu dibunuh supaya pesaing bank tersebut dapat mendominasi kewangan bandar. Empat orang pengawal – dua di sebelah kiri dan dua di sebelah kanan, berjalan mengiringi pengarah tersebut.

Sepantas angin, Rucelli berlari-lari sambil mengimbangkan badan di atas tembok batu tersebut. Sebaik sahaja mendekat dengan pengarah bank itu, dia melompat, mendepangkan tangannya lalu merodok stilettonya ke dalam perut dua orang pengawal pengarah tersebut. Pengarah bank yang terkejut jatuh terduduk. Rucelli terus menikam pengarah bank itu, tanpa belas kasihan.

Dua orang lagi pengawal segera mengeluarkan pedang mereka. Seorang pengawal menghayun pedangnya ke leher Rucelli. Rucelli tunduk, membaling kedua-dua stilettonya. Pisau-pisau itu tepat mengenai perut kedua-dua pengawal yang tinggal. Lima orang tumbang dalam sekelip mata. Seketika hendak mencabut pisau-pisaunya, Rucelli mendengar jeritan.

“Hey, tunggu!”

Sekumpulan pengawal seramai sepuluh orang, berpakaian merah, berbaju besi berlari-lari ke arah Rucelli. Cepat-cepat Rucelli berlari ke dalam lorong-lorong kecil. Dia memanjat bangunan. Pengawal-pengawal yang sudah terlatih turut memanjat bangunan.

“Di sana!” seorang pengawal menunjukkan kepada pengawal-pengawal lain ke satu arah.

Rucelli menjeling ke belakangnya. Senyum. Lalu terjun. Pengawal-pengawal kelam kabut berlari ke arah tempat Rucelli terjun. Tiada lagi bayang lelaki berjubah hitam. Muka mereka jelas menunjukkan kehampaan. Mereka gagal lagi menangkap pembunuh itu.

Rucelli berdiri di hadapan tiga orang lelaki. Mereka memakai jubah merah gelap, turut berselubung dari kepala sampai ke kaki. Nama sebenar mereka tidaklah diketahui sesiapa. Yang diketahui, seorang bernama Marc, seorang bernama Marco dan seorang lagi bernama Marcus. Di kanan Rucelli, seorang lelaki yang botak turut berdiri di sebelahnya.

“Bodoh! Kau tak reti ke untuk bunuh pengarah tu senyap-senyap? Huru hara Bandar Firenze (Florentine) ni sekarang disebabkan kau seorang!” jerkah Marc.

“Sabar, sabar. Dia kan pembunuh terbaik yang kita ada. Mungkin itu sahaja peluang terbaik yang dia ada untuk menjalankan tugas.” Marcus mempertahankan Rucelli.

“Bagaimanapun, ini upah kau kerana sudah menjalankan tugas.” Marco melemparkan seuncang emas ke tangan Rucelli.

“Sudah, bersurai!”

Sebaik keluar dari tempat perjumpaan, Rucelli dan lelaki botak di sebelahnya, Jacopo berjalan ke rumah mereka. Jacopo adalah kawan baik Rucelli. Mereka berkawan sejak kecil lagi, sejak kedua-dua mereka diserapkan ke organisasi pembunuh yang bergerak secara bawah tanah. Sepuluh langkah lagi sebelum sampai ke depan pintu rumah, Jacopo memberhentikan langkah, mendorong Rucelli untuk turut berhenti berjalan.

“Kenapa?” Tanya Rucelli.

“Rucelli, aku nak pegi bar malam ni. Nak ikut?”

“Aku tak minum. Aku tak suka perempuan. Tapi boleh juga. Aku pun tak ada apa nak dibuat malam ni.”

Sememangnya begitulah sifat Rucelli. Dia tak suka minum arak, dan berfoya-foya dengan wanita. Padanya, kedua-dua perkara itu hanyalah akan menumpulkan nalurinya untuk mempertahankan diri. Arak akan menghilangkan kewarasannya, manakala wanita akan melalaikannya.

Malam itu, Rucelli dan Jacopo pergi berhibur di bar yang terkenal di Florence. Jacopo mulai pening-pening lalat akibat meminum terlalu banyak arak. Dua wanita, seorang di kiri dan seorang di kanan Jacopo pula asyik menyuap lagi arak ke dalam mulut Jacopo. Melihatkan keadaan Jacopo yang sudah mamai, Rucelli membuat keputusan untuk pulang.

“Jacopo, jom balik.” Kata Rucelli.

“Baliikk..? aa…aku tak nak baliik la…lagi… hik!” hampir-hampir sahaja Jacopo jatuh kerana hilang keseimbangan. Itulah yang berlaku apabila otak gagal berfungsi. Sesungguhnya arak adalah racun, racun yang merosakkan akal, merosakkan jiwa dan merosakkan fizikal.

Rucelli segera memaut lengan Jacopo untuk memapahnya keluar. Duit dibayar kepada penjaga bar. Kalau dia tidak ikut Jacopo pada malam ini, alamatnya Jacopo tidur di bar itulah pada malam ini. Ketika dalam perjalanan ke rumah, Rucelli terfikir untuk memberitahu rakannya tentang apa yang bermain di fikirannya kala ini.

“Jacopo sudah mabuk. Kalau aku beritahu dia tentang perkara ini, esok mesti dia akan terlupa. Sekurang-kurangnya hati aku lega kerana dapat meluahkan apa yang aku asyik fikirkan selama ini.” Fikir Rucelli.

“Jacopo, aku ada benda lah nak beritahu,” Rucelli memulakan bicara.

“Apa diiiaaa..?” Antara dengar atau tidak sahaja kata-kata Jacopo.

“Aku ingat, aku nak keluar dari kumpulan kita lah. Aku nak berpindah.” Nah! Keluar juga apa yang dia simpan sejak seberapa lama. Entah kenapa, walaupun duitnya banyak, kerjanya mudah, namun hatinya tidak berasa senang.

“Kaauu naak pindah kee maanaaa..? Hik!”

“China. Aku sudah belajar serba sedikit Bahasa Cina. Aku ingat, kalau pergi sana, Kerajaan Firenze pun tak boleh kejar aku. Aku nak mulakan hidup baru di sana.

“Jaauhnyaaa… Jaaanganlah perr…” Dek kerana terlalu mabuk, Jacopo tertidur tanpa sempat menghabiskan kata-katanya. Nasib baiklah mereka sudah berada di depan pintu rumah. Kalau tidak, mesti Rucelli yang perlu mendukung kawannya yang berat macam gajah itu.

xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

zuhair; sila komen!

2 comments: